Institut Pendidikan Guru merupakan institusi unggul di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia yang melaksanakan latihan perguruan bagi program pra perkhidmatan. Sebagai peneraju kecemerlangan pendidikan guru, misi IPG adalah untuk melahirkan guru yang kompeten dan berjiwa pendidik. Hasrat ini dapat dicapai melalui program pembangunan guru yang dinamik. Justeru dapat melonjakkan kecemerlangan pendidikan di sekolah setaraf dunia.
Usaha ke arah pencapaian visi dan misi memerlukan satu persediaan mantap dan jitu bertitik tolak daripada menyediakan dan memantapkan Program Pembangunan Insan Guru. Ianya melibatkan proses meluaskan pengalaman pelajar IPG dengan pelbagai cabang ilmu dan pengalaman untuk menyediakan mereka dengan sebarang situasi dan cabaran di sekolah. Sebagai pelengkap kepada pengalaman ini, IPG turut meningkatkan penglibatan dalam komuniti dan memperluaskan program khidmat dan tanggungjawab sosial. Pengalaman ini dapat menyuntik nilai empati jiwa seorang guru, menggarap watak dan jiwa pendidik yang kliennya terdiri daripada pelbagai lapisan komuniti. Ia adalah selari dengan misi IPG untuk melahirkan guru yang kompeten dan berjiwa pendidik.
Mengamalkan tadbir urus dan kepimpinan yang berkesan merupakan satu elemen penting untuk melonjakkan IPG sebagai peneraju kecemerlangan pendidikan guru. Tadbir urus dan kepimpinan yang mantap dan cekap dapat memacu program pengantarabangsaan dan menyemarakkan budaya organisasi. Program-program ini adalah penyumbang kepada pemantapan program pembangunan insan guru. Tadbir urus dan kepimpinan yang cekap juga dilihat mempunyai kesinambungan dengan pengalaman yang harus dibekalkan kepada pelajar. Kualiti tinggi kepimpinan dan kecekapan pengurusan akan menjamin tahap ilmu yang akan menjadi santapan minda pelajar.
Menggalakkan budaya ilmu dalam kalangan warga IPG terutamanya pendidik guru merupakan satu perkara yang amat perlu diberi keutamaan. Melalui Budaya Organisasi Pembelajaran, pencarian ilmu merupakan amalan harian yang tidak ada penghujungnya. Budaya seumpama ini akan menjadikan seorang pendidik guru itu sentiasa berasa miskin dengan ilmu, lantas terus berusaha mencarinya daripada variasi sumber.
Usaha-usaha ini hanya akan terlaksana jika beberapa faktor pengupaya diberi perhatian utama. Ini termasuklah infrastruktur dan infostruktur mantap, perkhidmatan berkualiti, sumber manusia berkualiti dan yang paling penting ialah warga IPG memahami serta mengamalkan nilai dan falsafah organisasi.
Jika segala usaha disatukan, tiga halatuju IPG iaitu Kecemerlangan Pengajaran dan Pembelajaran, Kecemerlangan Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi, dan Kecemerlangan Pembangunan Profesional Guru dapat digapai. Kecemerlangan Pengajaran dan pembelajaran mampu memperlihatkan para pendidik guru menguasai pengetahuan, kefahaman dan kemahiran pengajaran dan pembelajaran. Manakala Kecemerlangan Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi mempamerkan pendidik guru yang membudayakan penyelidikan serta mencetuskan pelbagai idea melalui inovasi mereka. Kecemerlangan Pembangunan Profesionalisme Guru pula akan memperkasakan peningkatan profesionalisme secara berterusan. Ketiga-tiga hala tuju ini merupakan tunggak kepada kecemerlangan IPG sebagai Peneraju Pendidikan Guru di Malaysia.
Pengarah
Institut Pendidikan Guru Kampus Perempuan Melayu Melaka